Oct 6, 2018

Dia, RATU hatiku ❤️

16 September 2018

Kini 21 tahun berlalu....

"Suatu kisah yang sangat dekat di hati aku."

KEMATIANNYA SATU ANUGERAH – KITA BAGAIMANA?

Ini kisah dalam lipatan ingatanku yang aku simpan rapi. Semalaman aku terfikir, sebelum menulis post ini. Mengapa tidak aku kongsikan kisah ini, supaya mendapat sedikit iktibar kepada sahabat2ku bahawa KEMATIAN ITU SATU ANUGERAH.

Ini kisah aku dan insan bidadariku yang dipanggil Illahi pada tanggal 16 September 1997. Tujuh bulan sebelum itu, dia seorang periang, seorang yang sangat berprinsip dan menyayangi aku melebihi dirinya sendiri.

Suatu hari, sekembalinya dari mengajar di SMAP Kajang, dia mengajak aku ke klinik kerana terdpat luka kecil ulser dilidahnya. Walaupun pedih, ulser lidah adalah sesuatu yang normal. Malamnya, setelah mengenakan tudung labuh dan jubah tanpa make-up, sedang aku selesa dgn jean, kami  ke klinik Zul di Kajang, meninggalkan dua anak kecil kami Alia, 7 dan Iffah, 5 tahun. Arif 1 tahun aku bawa bersama. Dialah buah hati isteriku itu kerana masih menyusu badan.

Seperti yang aku jangkakan, isteriku diberi sejumlah ubat selepas pemeriksaan ringkas, lalu kami terus balik. Kesian juga melihat isteriku sukar untuk makan dan minum kerana menahan kepedihan.

Selepas 3 hari, ulser isteriku tidak kebah, malah terdapat tanda-tanda semakin merebak. Dia tidak lalu makan dan menanggung kesakitan. Kami sekali lagi ke klinik yang sama, lalu diberikan ubat lagi. Aku mula melihat perubahan pada isteriku, dia mula kurang bercakap, sekali sekala menahan  kepedihan.

Selepas tidak juga kebah, aku nekad untuk ke PUSRAWI, kebetulan aku ke Kuala Lumpur. Sedikit pelik kerana sebaik sahaja isteriku menunjukkan ulser dilidahnya, doktor tersebut tidak membuat pemeriksaan tetapi terus berkata “Sila buat pemeriksaan segera di HKL”, lalu menyediakan sekeping surat. Rupanya doktor mengesyaki ulser isteriku adalah simpton kanser !

Isteriku kelihatan tenang, kerana kesakitan yang dirasakannya lebih menyiksakan dari berita tersebut. Dia lebih memerlukan rawatan untuk kesakitannya.

Selang beberapa hari, kami ke HKL. Doktor melakukan biopsy untuk diagnosa sel kanser. Mr. Nasir, doctor pakar HKL selepas mendapat keputusan diagnose mengesahkan isteriku mengidap kanser tahap 3. Inilah kata-kata Mr Nasir yang akan aku ingat sampai bila-bila “Othman, just give her a comfort life” yang kemudiannya aku fahami bahawa isteriku telah tercalon sebagai penghuni syurga.

Esoknya, isteriku dimasukkan ke wad HKL, dan doctor mengambil keputusan untuk membuat pembedahan membuang sebahagian lidah isteriku yang mempunyai sel kanser. Namun, isteriku tetap tenang, tidakpun kelihatan gusar. Aku tidak tahu kenapa dia begitu tenang.

Selepas itu beberapa siri biopsy dijalankan dan doctor mendapat sel kanser telah berada hampir diseluruh badannya. Mr Nasir memanggil fenomena sel kanser malignant isteriku sebagai “a sleeping monster”, yang boleh merebak dgn sangat cepat.

Bermulalah HKL menjadi rumah keduaku. Waktu pagi aku uruskan anak-anak aku, Alia ke sekolah, Iffah ke Taski, dan Arif ke rumah pengasuh. Kemudian aku ke UPM mengajar di Pusat Matrikulasi spt biasa, kemudian bergegas ke HUKM pukul 12 hingga 2 pm, hampir setiap hari. Malamnya, dalam pukul 10, aku tinggalkan anak2 aku utk dijaga oleh Alia, 7 tahun, pergi  menemui isteriku di HKL. Hanya air mata sahaja menemai ku bila meninggalkan anak2.

Oleh kerana isteriku berada di wad perempuan, aku hanya menemai sehingga tengah malam, kemudian aku balik atau tertidur dalam kereta. Waktu pagi aku menyiapkan anak2 aku. Hujung minggu barulah aku membawa semuanya ke hospital.

Percayalah, tiada siapa yang tahu hal ini, termasuklah pelajar Matrikulasi aku di UPM dan rakan2 pascasiswazah (aku calon master partime ketika itu). Aku tidak mahu menunjukkan kesedihan kerana itu pesan isteri malah dia sendiri begitu tenang. Dalam kesakitan, masanya diabiskan dengan membaca Al-Quran, dan dikunjungi rakan, memohon maaf....  sambil sekali sekala dia mencoret sesuatu dalam diarinya.

Selepas 7 bulan berlalu, melalui siri-siri chemo…. wajahnya semakin cengkung, langkahnya semakin lemah, matanya semakin kuyu. Dia tidak lagi mesra dengan anak-anak, malah kelihatan menjauhi mereka. Aku kehairanan, namun terima dgn pasrah. Ketika itu HKL sudah membenarkan dia tinggal dirumah, seperti ada sesuatu isyarat untukku. Kedua ibu dan mertuaku pula menemainya  kerumahku.

Suatu pagi, dia minta untuk memakai baju kemejaku. Aku mengiyakan. Tengahari aku balik spt biasa, untuk menemuinya. Dia bersandar ditepi katil, masih memakai baju kemejaku. Sekali sekala dia memandang kesyiling. Aku bertanya “Idah ingat apa?”. Dengan lemah dia menunjuk ke syiling. “Idah ingat Allah ke?”. Dia tenang menganggukkan kepalanya.

Itulah komunikasi terakhir dgn isteriku.

Malam pemergiannya, jenazah dibawa balik ke Rembau. Malam itu aku tidur disebelah isteriku buat kali terakhir hingga suboh. Selepas beberapa hari, aku membuka diary, dan terbaca satu tulisan ringkas  yang membawa maksud “aku tidak mahu melayan anak2ku supaya mereka tidak terasa akan pemergianku nanti”.

Bertuahlah dia sebagai calon syurgawi kerana Allah menarik kudratnya secara perlahan-lahan, memberikan kesakitan supaya dia sempat bertaubat dan memohon keampunan, dengan adik berdik dan sahabat handai. Allah memberinya kesakitan supaya hatinya terikat kuat dgn PenciptaNya. Semua ini terpancar pada wajahnya yang sentiasa tenang hingga akhir hayatnya.

Barulah aku sedar... bertuahlah dia… mendapat satu anugerah .... sebagai calon syurgawi !

Kita bagaimana?

(Insan yg bergelar 'aku' dalam kisah ini adalah ayah dan ya, calon syurgawi itu adalah ibu aku. Alia? Itu diriku.)

Al-Fatihah
Rafidah Hj Maulud
11011964-16091997

AA
yaqilah.ot@gmail.com

No comments:

Post a Comment